Powered by Bravenet Bravenet Blog

Subscribe to Journal

Tag Board

Astaga.com lifestyle on the net: Astaga.com lifestyle on the net was here to say hello...!
astaga.com lifestyle on the net: I really enjoyed read your article, thanks (hot lifestyle news & Trick Magic Illusions)
astaga.com lifestyle on the net: Astaga.com main kemari tuk sekedar senyum
Amir Hamzah: Jemputlah membaca sajak di blog saya. Terbaru, Sajak Buat Ayah
Nathalie: Welcome to the neighborhood. I hope you enjoy journaling as much as we do. If you are looking for helpful website resources I have a link to lots helpful sites! Good Luck and Best Wishes
GirlyGurl: Welcome to the community!

Please type in the four characters shown in the black box.

March 18th, 2009

07:56:57 PM

RESEPI dari ISTANA 3 :: Oleh NISAH HAJI HARON (www.annyss.blogspot.com)

  • Perasaan Hari Ini:
  • Hikmah Pujangga: Anak umpama anugerah Tuhan dan amanah-Nya kepada kita.
  • Pengumuman: Anak kedua saya baru lahir 14 Mac 2009 lalu.
ARKIB Utusan Malaysia : 15/02/2009

SEISI Istana gempar. Pihak istana disaman lagi! Kali ini surat saman tiba di pejabat pentadbiran istana dengan kepala surat daripada firma guaman yang paling kanan di daerah ini. Walaupun memiliki penasihat undang-undangnya sendiri, sesekali menerima surat saman dan penyata tuntutan daripada si plaintif boleh menggetarkan jantung pihak istana.

Bukan setakat istana yang disaman. Turut sama diheret dalam proses litigasi ini ialah tukang masak istana yang terkemuka - Chef Chimiko.

Buat seketika dia terkedu. Dia bukannya tidak pernah disaman sebelum ini. Malah lebih hebat daripada kes saman kali ini juga pernah dilaluinya. Tetapi dalam semua kes, saman sama ada ditarik balik ataupun dapat diselesaikan di luar mahkamah sahaja.

“Takkanlah baru sekali terkunyah cili habis sebuah istana hendak disaman?” Komen Chef Mariam.

“Si plaintif bukannya tak biasa datang makan ke istana ini. Selama ini, dia pun tahu mengelak daripada makan makanan pedas. Lagipun, cili yang aku guna tu cili buah yang besar-besarlah. Capsicum kata orang putih, bukannya cili padi ataupun cili tonggeng. Aku pun tahulah macam mana nak hidang makanan kalau tetamu yang datang tu tak tahu makan pedas.”

Jawapan Chef Chimiko membuatkan rakan sejawatnya terdiam seketika. Dia memandang pula kepada peguam yang telah dilantik bagi mewakilinya dan juga pihak Istana.

“Apa pendapat tuan?

“Di negara kita memang perkara begini jarang berlaku. Masyarakat kita bukanlah sebuah masyarakat litigasi. Hal-hal yang kecil sudah hendak menyaman. Tetapi, ini angkara undang-undang Barat. Negara kita juga dipengaruhi oleh sistem undang-undang ini. Suka ataupun tidak, inilah natijahnya. Menurut Si Plaintif, setelah terkunyah lada itu, dia mendakwa kehilangan deria rasa dan tidak dapat menikmati makanan yang lain.”

Chef Chimiko bersandar pada kerusi di bilik mesyuarat yang menghimpunkan pihak di dalam kes saman ini - Chef Mariam yang menawarkan diri untuk menemaninya, seorang peguam dan seorang wakil daripada pihak pengurusan istana.

Tertangguh seketika semua rancangan menyediakan makanan untuk jamuan istana. Chef Chimiko telah meninggalkan arahan kepada sous chef. Mereka itu sudah tahu rentak dan tari Chef Chimiko di dapur istana. Dia sudah menerima banyak amaran supaya tidak memasukkan terlalu banyak cili mahupun lada hitam di dalam masakan. Istana juga sudah membisikkan bahawa penggunaan serbuk perasa juga dibenarkan. Pihak istana tidak mahu kes ini semakin hangat seolah-olah sedang mengunyah lada.

“Sewaktu saya masih belajar dulu,” sambung peguam muda yang lengkap bertali leher itu lagi, “saya selalu juga mengutuk pihak-pihak di dalam kes yang saya kaji. Misalnya, kes seorang tetamu yang menyaman tuan rumah kerana dia terjatuh sewaktu membuka pintu rumah apabila tombolnya tertanggal. Akibat kecederaannya itu, tetamu dan tuan rumah menjadi musuh. Padahal sebelum ini, elok sahaja datang ke rumah untuk minum-minum.”

Masing-masing di dalam majlis mesyuarat itu senyap.

“Pernahkah ada pihak yang menyaman seperti kes kita sekarang?” soal wanita bertubuh gempal dengan rambut kerinting kontot yang menjadi wakil kepada pihak istana.

Peguam itu mengangguk beberapa kali.

“Ada sebuah kes sebelum ini yang hampir serupa. Seorang selebriti menyaman sebuah hotel kerana kek coklat yang dihidangkan tidak seenak yang dipesannya. Kek itu mesti dibentukkan seperti wajahnya, deko pada kek coklat basah itu juga dipesan supaya mirip wajahnya. Chef berkenaan berhempas-pulas membentuk kek supaya mempunyai iras seperti selebriti itu. Segala macam hiasan di atas kek semuanya dicuba. Tetapi, kek coklat itu tidak sedap menurut selebriti itu.”

“Kek tak sedap pun mahu disaman juga?” Soal Chef Mariam.

“Susahlah begitu, sedap ataupun tidak bukankah sangat subjektif sifatnya.”

“Bukan itu yang menjadi isu sebenarnya, puan. Di dalam saman dan penyata tuntutan kes tersebut, selebriti itu mendakwa kek coklat yang tidak sedap apabila dihidangkan kepada para tetamu sempena hari lahirnya seolah-olah menggambarkan bahawa pada usianya yang sedemikian, dia sudah tidak ada kualiti lagi. Dengan merasa kek itu, tetamu boleh membuat tanggapan sedemikian. Oleh itu, reputasinya sebagai selebriti boleh jatuh. Lalu, dia boleh mengalami kerugian kerana tidak lagi diundang sebagai selebriti kerana orang akan mengata macam-macam kepadanya.”

Chef Chimiko menepuk dahinya. “Orang macam ini pun ada?”

“Apa komen tuan sendiri sebagai peguam terhadap kes itu?” soal wakil pihak istana.

Peguam itu membasahkan tekaknya dengan segelas air yang disediakan. Dia memandang setiap wajah yang memerhatikannya. Tidak terfikir pula bahawa dia sendiri harus memberi pandangan terhadap kes ini. Sedangkan dia hanya bercadang untuk mendapatkan maklumat lanjut terhadap kes semasa yang telah diarahkan oleh majikannya.

“Saya ada dua pendapat. Pertama, budaya saman-menyaman sudah semakin menular. Ini bukan budaya negara kita. Padahal, selebriti itu yang pandai-pandai membuat tanggapan. Sedangkan berapa ramai sangatlah tetamu yang akan memperkatakan tentang kek coklat basah itu. Apatah lagi untuk mengaitkan kek itu dengan diri selebriti tadi. Menurut fakta kes, kek itu habis dimakan pada malam itu juga.”

Pecah ketawa kecil kedua-dua chef dari istana itu.

“Tetapi, tuan. Bukankah budaya saman-menyaman ini sesuatu yang perkembangan menarik kepada para peguam. Lebih banyak masalah yang menjadi kes mahkamah, lebih lumayan, bukan?” Chef Mariam menduga.

Peguam itu tersenyum pahit sebelum menjawab, “Memang ada benarnya kata-kata puan. Apabila tidak ada kes, peguam mungkin tak dapat cari makan. Seperti juga doktor di hospital, jika tiada orang sakit, doktor mungkin tiada kerja. Tetapi, firma kami menjaga reputasi dan kami ada amanah serta integriti. Kami tidaklah sapu bersih semua kes ataupun hanya mengambil kes-kes berprofil tinggi semata-mata untuk glamor. Kes kek coklat itu asalnya, kes kami, tapi firma kami tolak awal-awal lagi. Lalu selebriti tadi beralih ke firma guaman yang lain.”

“Usah berkecil hati, ya. Kami yang bukan peguam ini biasa juga tertanya-tanya akan hal itu. Hari ini, saya sendiri ingin tahu pendapat tuan.”

Dia hanya tersenyum dan berdehem sebelum menyambung penerangannya yang tersangkak, “Pendapat kedua tentang kes kek coklat ini: saya melihat kes ini cuba menghalang kebebasan dalam rekacipta. Sebagai orang seni, tak kiralah tukang masak, penulis, penyanyi, pencipta dan sebagainya, mereka harus diberi ruang yang cukup untuk berkarya. Sekiranya oleh hal yang seperti ini sudah ada pihak yang mahu saman-menyaman, pastilah keadaan ini akan membantutkan kreativiti orang seni. Mereka akan jadi takut untuk mencuba.”

Peguam itu memasang jeda. Perhatian setiap ahli mesyuarat masih tertumpu ke arahnya. Lalu dia menyambung lagi, “Oleh itu, saya melihat bahawa orang seni juga harus menggunakan kreativitinya dengan cara yang bijaksana. Ada pihak yang mengatakan bahawa pihak chef di hotel itu memang sengaja hendak mengenakan selebriti itu. Dakwaan itu tidak dapat disokong. Namun, pada saya jika mahu mengenakan mana-mana pihak, wajarlah bijak seperti kisah orang-orang Melaka yang makan kangkung tidak dikerat-kerat dalam Sejarah Melayu.”

“Kisah kangkung tak dikerat tu kisah apa?” celah wakil daripada istana.

“Begini,” ujar Chef Mariam sambil memandang peguam itu. Langsung mengisyaratkan izin supaya dia dapat menyambung cerita yang dimaksudkan. Peguam itu mengangguk. Dia berasa terpanggil untuk menceritakan kepada perempuan gempal berambut pendek yang tandus kisah sejarah hebat bangsa Melayu ini.

“Di dalam buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, ada satu bahagian yang menceritakan sekumpulan orang-orang besar Istana Melaka yang mengikuti rombongan Diraja ke Negeri China. Salah satu amalan dan pantang-larang di dalam istana di Negeri China ialah tidak boleh memandang wajah Maharaja China. Itu kesalahan besar bagi orang kebanyakan. Orang-orang Melaka pun mencari akal. Jadi, apabila ditanya apakah masakan kegemaran orang-orang Melaka supaya dapat dihidangkan sewaktu majlis makan malam bersama-sama Maharaja, mereka pun menjawab: orang Melaka makan sayur kangkung tetapi tidak disiang pendek-pendek. Orang Melaka gemar makan sayur itu panjang-panjang.”

Peguam itu semakin teruja apabila perbualan tentang undang-undang ini langsung berkait kepada hal-hal masakan dan buku Sejarah Melayu yang pernah menjadi bacaannya.

Dia membiarkan Chef Mariam terus bercerita.

“Pihak Maharaja China tentu sekali mahu menghormati tetamu yang datang dari jauh. Apatah lagi Kerajaan Melaka bukanlah kerajaan yang calang-calang pada zaman itu. Mereka tidak mahu sedikit pun tetamu mereka berasa terhina dengan cara mereka menghidang makanan. Oleh itu, apabila tiba waktu makan, orang-orang Melaka pun mengangkat sayur kangkung yang panjang itu ke atas. Mereka pun mendongakkan kepala sambil memasukkan sayur kangkung ke dalam mulut. Sambil berbuat begitu, mereka pun dapatlah menjeling untuk melihat wajah Maharaja China yang tidak boleh berkata apa-apa. Bukankah itu satu tindakan yang bijak?”

Ahli-ahli mesyuarat tersenyum mendengar kisah itu.

“Apa sudahnya kes selebriti yang menyaman pihak hotel tadi?” tanya Chef Chimiko.

“Pihak mahkamah tidak meluluskan saman daripada selebriti itu. Dia gagal membuktikan apa yang didakwanya.”

“Jadi, kes itu boleh kita jadikan ikutan supaya mahkamah boleh memihak kepada kita juga?”

“Benar, Chef. Pihaknya haruslah membuktikan bahawa pihak Istana ini memang berniat jahat meletakkan cili itu di dalam hidangan pada malam tersebut. Jika dia gagal, kes ini berpihak kepada kita.”

“Saya sungguh-sungguh berharap begitu, tuan. Takkanlah kerana dia seorang saya harus menggubah kembali resipi yang telah saya sediakan sejak saya mula bertugas di sini. Lagipun, ini resipi tradisi Istana. Sudah menjadi amalan kami untuk menghidangkan resipi ini kepada tetamu di istana ini.”

Mesyuarat bubar setelah peguam itu mendapat maklumat yang mencukupi bagi menyediakan suratcara dan dokumen untuk ke mahkamah. Saman dan penyata tuntutan itu harus dijawab dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jika tidak, mahkamah akan menganggap bahawa Istana dan Chef Chimiko sebagai pihak defendan bersetuju dengan apa yang dikemukakan Si Plaintif. Lebih buruk lagi, jika pada hari yang ditetapkan pihak defendan gagal hadir. Mahkamah boleh buat keputusan tanpa kehadiran defendan dan tidak mustahil keputusan itu memihak kepada si plaintif.

Penerangan daripada peguam itu rinci. Chef Chimiko memahaminya. Pun, dalam diam dia tahu mengapa kes ini sengaja dibawa ke tengah.

“Yam, mereka ini tak sudah-sudah berdendam dengan pihak kita.”

Chef Mariam melepaskan keluhan keras. “Kalau boleh mereka hendak kita keluar dari istana ini. Kalau kita merempat akibat kes ini, tentulah mereka lebih suka. Si Plaintif itulah kepalanya. Mereka pula yang dapat kawal semua bentuk pemakanan di dalam istana dan kalau boleh dalam negara kita juga. Akan hilanglah batas dan sempadan halal-haram. Kita kena pertahankan hak kita.”

“Memang betul. Kalau tidak, kita kena ubah semua bentuk resipi. Kita sudah tidak ada kebebasan untuk berkreatif dalam masakan. Macam kata peguam tu tadi. Sudahnya, apa nak jadi. Semua orang akan makan sup. Hatta, ada rempah sedikit pun tak boleh, apa lagi kalau bercili. Ini keterlaluan!”

“Sabar. Cara nak membalasnya bukan dengan mencurah minyak. Nanti dapur kita juga yang terbakar,” kata Chef Mariam.

“Habis, bagaimana?”

Sehari sebelum kes itu dijadualkan untuk sebutan, Chef Chimiko dan Chef Mariam sibuk di dapur istana menyediakan hidangan untuk tetamu khas istana. Cadangan mereka berdua untuk menyediakan masakan ini telah diluluskan oleh pihak istana. Lalu, suatu majlis makan malam diadakan dan dihadiri oleh semua orang kenamaan termasuk jugalah Si Plaintif.

Tidak cukup dengan itu, Chef Chimiko dan rakan sejawatnya membuat sidang akhbar.

“Kami akan menyediakan sejenis sup yang belum pernah dicipta oleh mana-mana tukang masak di negara ini. Bahan-bahan mentahnya terpilih. Kami akan hidangkan sup tulang rusuk rusa muda dengan memasukkan perencah-perencah istimewa.”

Mereka juga bermain dengan warna. Pelbagai jenis sayur turut dimasukkan sebagai hiasan makanan.

Sewaktu majlis makan malam, semua orang memuji sup itu sehingga mereka meminta supaya Chef Chimiko dipanggil. Pujian ini harus disampaikan sendiri kepadanya. Para wartawan telah berceratuk menunggu giliran untuk mewawancara mereka berdua. Mikrofon bercerancangan di atas meja kopi di bilik khusus tidak jauh dari dapur istana.

Si plaintif yang mahu menjaga status dan ego turut hadir. Ketika Chef Chimiko mengucapkan terima kasih kepada tetamu Istana yang menikmati hidangannya, wajah si Plaintif terkulat-kulat.

Chef Chimiko tahu mengapa.

Kali ini, sup hidangannya bukannya terlebih cili ataupun lada. Dia tidak boleh terjerit kepedasan. Sup istimewa itu tidak dimasukkan sebarang rempah yang membahangkan. Dia tidak boleh mendakwa tengkoroknya kepanasan.

Serbuk perasa memang khusus banyak untuk sup si Plaintif. Monosodium glutanate pun mengganggu saraf-saraf pemikirannya supaya dia mampu mengatakan pada dirinya bahawa sup ini memang sedap.

Dia tahu sup ini ada kekurangan walaupun serba-serbinya cukup. Tetapi kali ini Si Plaintif tidak mampu menyuarakan kekurangan itu. Para wartawan sudah disajikan hidangan lazat. Chef Chimiko telah memberi sesuatu yang punya nilai berita kepada mereka.

Rungutan si plaintif hanya sesuai menjadi penyendal berita. Pun, tiada siapa yang akan percaya kalau si plaintif berkata sup di dalam mangkuknya seorang sahaja tidak sedap kerana tidak bergaram kerana supnya habis dihirup demi menjaga air muka sendiri.

Ya, si plaintif tidak boleh menjerit membantah. Kali ini dia bukannya kepedasan. Dia ada pilihan sama ada mahu menzahirkan kekurangan diri yang akan dikata orang dia kuat garam ataupun terus tidak bersuara.

Si plaintif hanya mampu bertindak seperti Maharaja China yang merah padam ketika orang-orang Melaka memakan sayur kangkung tidak dikerat. Kangkung dijinjing tinggi sambil mendongakkan kepala lalu dimasukkan ke dalam mulut. Sesekali mereka menjeling ke arah wajah maharaja yang tiada pilihan melainkan menghormati tetamu dari Melaka!

0 Pendapat.

There are no comments to this entry.

Post New Comment

 BraveJournal Member Non-Member
No Smilies More Smilies »
Please type the letters you see